MENU

28 Ogos 2017M bersamaan 06 Zulhijjah 1438H -Majlis Daerah Tanah Merah menganjurkan program gotong - royong dan pra pelancaran “Tanah Merah Ke Arah Bandar Bersih” bertempat di Jalan Hulu Pasar, Pasar Besar Tanah Merah bermula pada jam 9.00 pagi bermatlamatkan kebersihan dalam bandar terutamanya menjelang musim perayaan. Program ini mendapat penyertaan daripada jabatan - jabatan kerajaan, persatuan - persatuan taman dan perumahan dan juga daripada penduduk sekitar bandar Tanah Merah bagi membersihkan kawasan sekitar.

Program ini dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Abdul Fattah bin Haji Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri Kelantan merangkap ADUN Bukit Panau. Turut hadir dalam program tersebut adalah YBrs. Encik Amirul Hisham bin Mohamad Sapri selaku Setiausaha MDTM, YBrs. Tuan Haji Nazir bin Yusoff selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebersihan, Keindahan Bandar dan Alam Sekitar MDTM, Ahli – Ahli Majlis MDTM, ketua - ketua Jabatan, wakil Ketua Polis Daerah Tanah Merah,  Ketua – Ketua Bahagian MDTM, wakil – wakil peniaga Pasar Besar Tanah Merah dan Skuad Cakna Bersih Majlis Daerah Tanah Merah.

Di samping itu, YB Dato’ Haji Abdul Fattah bin Haji Mahmood turut serta dalam gimik pelancaran iaitu pembersihan longkang menggunakan “high pressure water jetter” yang disediakan oleh Syarikat BUJ Technology Sdn Bhd.

Majlis Daerah Tanah Merah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut. Diharapkan agar program ini akan membangkitkan kesedaran di kalangan orang awam mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar khususnya di dalam bandar.

 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 16 November 2017 - 12:56pm