Maklumat am cukai taksiran (cukai bandar / cukai pintu) Majlis Daerah Tanah Merah, disediakan oleh Bahagian Penilaian dan Pengurusan Harta.

JomPAY
Biller Code
61762
Ref-1
No. Bil Cukai
Ref-2
No. telefon (tanpa jarak)

Bayar melalui perbankan internet: Bayar Bil → JomPAY. Kaedah lain: e-Bayaran.

Apa itu cukai taksiran?

Cukai taksiran / cukai bandar / cukai pintu ialah cukai yang dikenakan ke atas semua pegangan atau harta tanah di kawasan Majlis Daerah Tanah Merah.

Kuasa untuk mengenakan cukai taksiran adalah selaras dengan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) di bawah Seksyen 127, yang membolehkan Majlis mengenakan kadar ke atas pegangan di dalam kawasan pentadbirannya.

Jenis harta yang dikenakan cukai taksiran

  • Bangunan kediaman
  • Bangunan perniagaan (kedai)
  • Bangunan komersial
  • Perindustrian (kilang)
  • Harta khas
  • Tanah ladang / tanah kosong

Tempoh dan cara bayaran

Cukai taksiran dikenakan setahun sekali tetapi bayarannya dipecahkan mengikut penggal.

PenggalTempohBayar pada / sebelum
PertamaJanuari – Jun1/1 – 28/2
KeduaJulai – Disember1/7 – 31/8

Cara bayaran

  • Kaunter Hasil Majlis Daerah Tanah Merah
  • Kaunter Bergerak Majlis Daerah Tanah Merah
  • Cek atau kiriman wang pos atas nama “YANG DIPERTUA MAJLIS DAERAH TANAH MERAH” atau “MAJLIS DAERAH TANAH MERAH”
  • JomPAY: log masuk perbankan internet, pilih Bayar Bil → JomPAY, masukkan amaun, Biller Code 61762, Ref-1 (No. Bil Cukai) dan Ref-2 (No. telefon tanpa jarak)

Jika bil tidak sampai ke premis anda, dapatkan bil cukai taksiran di Pejabat Majlis Daerah Tanah Merah.

Nilai tahunan dan kiraan cukai

Nilai Tahunan ialah “anggaran kasar sewa tahunan” yang munasabah dijangka diperoleh setahun daripada pegangan itu jika disewakan, dengan tuan tanah membayar belanja pembaikan, insurans, penyelenggaraan dan segala kadar serta cukai awam.

Nilai Tahunan = anggaran sewa kasar sebulan × 12 bulan

  • Jumlah cukai taksiran ialah kadar peratus (%) ke atas Nilai Tahunan.
  • Nilai Tahunan ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, MDTM.
  • Kadar peratus ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan rayuan tidak boleh dibuat terhadapnya.

Contoh kiraan

Nilai Tahunan RM 4,800 × kadar 8% = RM 384.00 setahun
atau RM 192.00 setiap 6 bulan

Pegangan yang boleh dikecualikan (Seksyen 134, Akta 171)

Pihak Berkuasa Negeri boleh, menurut budi bicaranya, mengecualikan pegangan berikut atau mana-mana bahagiannya daripada membayar kadar:

  • Rumah ibadat (tempat awam untuk sembahyang)
  • Tanah perkuburan atau krematorium awam yang berlesen
  • Sekolah awam
  • Tempat awam bagi maksud khairat atau bagi maksud sains, sastera atau seni halus dan bukan untuk mendapatkan keuntungan

Pindaan dan bantahan Nilai Tahunan

Bahagian Penilaian dan Pengurusan Harta boleh pada bila-bila masa meminda Senarai Nilaian sekiranya:

  • Sesuatu bangunan baru didirikan
  • Bangunan diubah suai, diubah, diruntuhkan / dibina semula, atau kemajuan lain dibuat pada pegangan berkadar sehingga nilainya naik
  • Sesuatu pegangan tertinggal daripada Senarai Nilaian
  • Bangunan atau sebahagiannya diruntuhkan, atau kerja lain dijalankan sehingga nilainya turun
  • Dikeluarkan hak milik baru
  • Perubahan pada pegangan berkadar disebabkan undang-undang perancangan yang menaikkan atau menurunkan Nilai Tahunan

Notis Kenyataan Pindaan Senarai Nilaian di bawah Seksyen 144, Akta 171 akan dihantar kepada pemilik untuk memaklumkan Nilai Tahunan baru.

Bantahan

Pemilik yang menerima notis berhak membantah nilaian dalam tempoh yang dicatat dalam notis, secara bertulis kepada Majlis. Bantahan yang layak akan didengar dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bantahan Nilaian Harta. Bantahan boleh dibuat atas alasan berikut sahaja:

  • Harta dinilai LEBIH daripada kadar sepatutnya
  • Harta tidak boleh dikenakan kadar
  • Harta tertinggal dan tidak dinilai
  • Harta dinilai KURANG daripada kadar sepatutnya
  • Harta dinilai secara berasingan / bersesama yang sepatutnya dinilai secara lain

Pegangan kosong dan tidak didiami (Seksyen 162, Akta 171)

Cukai taksiran tetap dikenakan walaupun bangunan atau rumah itu kosong. Walau bagaimanapun, pemilik boleh memohon remisi bagi tempoh kekosongan dengan memberi notis bertulis kepada Majlis dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh bangunan dikosongkan.

Pemilik juga perlu melengkapkan Borang Penyata Pemunya / Penduduk dengan tepat dan dalam tempoh yang ditetapkan.

Notis pindah milik / jualan (Seksyen 160, Akta 171)

Borang I — pindah milik

Apabila anda membeli rumah, bangunan atau tanah di kawasan Majlis Daerah Tanah Merah, maklumkan MDTM dalam tempoh 3 bulan dari tarikh jualan atau pindah milik dengan mengisi Borang I di kaunter Bahagian Penilaian dan Pengurusan Harta, supaya notis dan bil dialamatkan kepada pemilik baru.

Sertakan

  1. Surat perjanjian
  2. Salinan hak milik / cabutan hak milik
  3. Salinan surat perjanjian jual beli
  4. Salinan bil cukai yang telah dijelaskan
  5. Salinan kad pengenalan

Borang J — pemilik meninggal dunia

Apabila pemunya pegangan meninggal dunia, waris atau yang seumpamanya wajib memaklumkan MDTM dalam tempoh 1 tahun selepas kematian.

Sertakan

  1. Salinan sijil kematian
  2. Salinan hak milik / cabutan hak milik
  3. Salinan surat perjanjian jual beli
  4. Salinan bil cukai yang telah dijelaskan

Bayaran proses tukar nama pemilik ialah RM 30.00. Nama dikemas kini selepas semua tunggakan dijelaskan.

Tukar alamat pos dan pengesahan cukai

Maklumkan Bahagian Penilaian dan Pengurusan Harta jika anda ingin menukar alamat pos untuk penghantaran bil cukai taksiran, melalui surat, emel atau hadir ke Majlis untuk mengisi borang. Perkhidmatan ini percuma.

Permohonan pengesahan cukai taksiran oleh pejabat peguam, perseorangan atau syarikat dikenakan bayaran proses RM 10.00.

Bahagian Penilaian dan Pengurusan Harta
Majlis Daerah Tanah Merah, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Tel: 09-955 6026 / 09-955 6023 samb. 106 · Faks: 09-955 6826