ULU KUSIAL, 23 APRIL 2026 (KHAMIS) – Satu lawatan tapak telah dilaksanakan hari ini di kawasan rekreasi Lata Hujan, Ulu Kusial bagi meninjau dengan lebih dekat potensi pembangunan infrastruktur serta kemudahan pelancongan di kawasan berkenaan.
Lawatan tersebut diketuai oleh YBhg Dato' Samsuri bin Awang Mat, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Perpaduan dan Pelancongan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM). Turut hadir dalam tinjauan ini adalah Ketua Whip MDTM, Ahli-ahli Jawatankuasa, wakil daripada Bahagian Teknikal MDTM serta Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan Tanah dan Pelupusan) Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah (PTJTM).
Tinjauan ini bertujuan untuk menyelaras perancangan pembangunan secara bersepadu bagi memastikan Lata Hujan dapat diangkat sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di daerah Tanah Merah.
Antara perkara utama yang diberikan perhatian termasuklah menilai keperluan infrastruktur jalan sedia ada bagi memudahkan akses pengunjung ke kawasan rekreasi dan perbincangan teknikal bersama pihak PTJTM mengenai status tanah bagi melancarkan proses pembangunan masa hadapan.
Kerjasama erat antara MDTM dan PTJTM ini membuktikan komitmen MDTM dalam memacu pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan sekaligus memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan
Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan