Amanat Tahun Baharu 2026 Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan

KOTA BHARU, 2 FEBRUARI 2026 (ISNIN) – Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBM Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj bin Tengku Feissal (Tengku Kaya Perkasa), hari ini telah menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 bertempat di Hotel The Renai, Kota Bharu. Dalam amanat tersebut, YBM Tengku Kaya Perkasa Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menekankan empat (4) langkah strategik utama bagi tahun 2026:

1) Pengukuhan Hasil: Memaksimumkan kutipan hasil melalui sumber sedia ada seperti cukai tanah dan hasil hutan, serta meneroka sumber baharu.
2) Kawalan Perbelanjaan: Melaksanakan disiplin fiskal yang ketat dengan mengutamakan perbelanjaan berimpak tinggi dan mengurangkan ketirisan.
3) Kecekapan Pentadbiran: Mentransformasikan penyampaian perkhidmatan awam melalui pendigitalan proses kerja dan pemerkasaan modal insan.
4) Kerjasama Persekutuan: Memperkukuh hubungan strategik dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjamin kelancaran projek pembangunan negeri.

Beliau turut menegaskan bahawa Halatuju Portfolio 2024–2028 akan terus berpandukan kepada Dokumen Induk Pelan Pembangunan Membangun Bersama Islam (PMBI) 2023–2033. Dokumen ini menjadi rujukan utama bagi setiap jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri dalam merancang serta menilai inisiatif pembangunan bagi mencapai budaya kerja Islam yang menyeluruh.

Kemuncak majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Pengiktirafan Bintang Petunjuk Prestasi Utama (KPI) HRMIS Tahun 2024 kepada 48 agensi. Majlis Daerah Tanah Merah turut dinobatkan sebagai penerima anugerah tersebut atas pencapaian cemerlang 100% KPI HRMIS bagi tahun 2024.

Anugerah tersebut telah disampaikan sendiri oleh YBM Tengku Kaya Perkasa Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan kepada YABrs. Tuan Wan Ahmad Suwaidi bin Zainal Abidin, Yang Dipertua MDTM. Turut hadir ke program tersebut ialah Tuan Haji Mohd Khairil Hazmie bin Yusof, Setiausaha MDTM dan YBrs. Encik Nik Mohamad Dzul Wal Ilkram bin Zulkarnain, Penolong Setiausaha MDTM.

Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan

#amanattahunbaharu2026
#YBMTengkuKayaPerkasa
#SetiauasahaKerajaanKelantan
#MajlisDaerahTanahMerah

Lihat di Facebook