Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah Daerah Tanah Merah Bil 12/2026 dan Pembenterasan Warga Asing Bersama Agensi Luar

#TANAHMERAH, 25 OKTOBER 2026 – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah serta Majlis Daerah Tanah Merah telah melaksanakan Operasi Bersepadu bagi Pembanterasan Warga Asing di Ladang Sireh, Kampung Putat Batu 4 dan Kampung Bechah Laut, Tanah Merah, pada hari ini.

Bagi memastikan kelancaran operasi, sebanyak dua (2) sekatan jalan raya turut dilaksanakan, manakala dua (2) pasukan serbuan telah digerakkan ke lokasi sasaran bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan.

Operasi yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Tanah Merah, YDH Supt Mohd Haki bin Hasbullah, dilaksanakan susulan aduan dan maklumat yang disalurkan oleh orang awam berhubung dakwaan aktiviti penanaman sireh oleh warga asing di kawasan berkenaan.

Pasukan operasi turut mendapati bangunan-bangunan di kawasan berkenaan telah dirobohkan sebelum ketibaan pasukan. Dalam operasi tersebut, Majlis Daerah Tanah Merah telah mengambil tindakan pemasangan tali sitaan pada dua buah bangunan serta menyita sebuah bangunan di Kampung Putat Batu 4. Sementara itu, Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah telah mengeluarkan notis pelanggaran syarat nyata hak milik tanah kerana tanah berkenaan ditetapkan untuk kegunaan tanaman getah sahaja, selaras dengan peruntukan Kanun Tanah Negara 1965 [Akta 828].

IPD Tanah Merah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada masyarakat yang prihatin serta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis. Kerjasama ini amat penting dalam membantu pihak berkuasa menjalankan pemantauan, penguatkuasaan undang-undang dan tindakan susulan demi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta pematuhan undang-undang sentiasa terpelihara.

Pihak polis turut menggalakkan masyarakat agar terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang melalui saluran rasmi. Identiti pemberi maklumat akan dikendalikan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

PDRM sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya dalam memastikan setiap individu mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa. Masyarakat yang prihatin dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap peraturan serta mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, pihak polis menegaskan bahawa setiap laporan polis yang melibatkan dakwaan kesalahan jenayah akan diteliti dan disiasat sewajarnya berdasarkan fakta, bukti serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA

#polistanahmerah
#JIM
#PejabatDaerahTanahMerah
#MajlisDaerahTanahMerah
#ops
#wargaasing

Dikongsi daripada Polis Daerah Tanah Merah

Lihat di Facebook