BUKIT BUNGA, 17 MAC 2026 (SELASA) – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri terus mempergiat usaha advokasi keselamatan jalan raya bagi memastikan kelancaran dan keselamatan para perantau yang pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Program Kempen Keselamatan Jalan Raya telah diadakan dengan jayanya pada hari ini bertempat di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Bunga, Tanah Merah. Program tersebut telah dihadiri oleh YB Dato' Haji Abd Rahman bin Yunus, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan merangkap Timbalan Pengerusi MKJR Negeri Kelantan.
Kehadiran beliau telah disambut oleh YABrs Tuan Ketua Jajahan Tanah Merah, Encik Wan Ahmad Suwaidi bin Zainal, bersama barisan kepimpinan tempatan termasuk YB Dato' Haji Abdul Fattah bin Haji Mahmood (ADUN Bukit Panau), YB Mohd Almidi bin Jaafar (ADUN Bukit Bunga) dan YB Bahari bin Mohamad Nor (ADUN Gual Ipoh).
Program dimulakan dengan penyampaian hamper kepada petugas barisan hadapan yang bertugas tanpa henti bagi memastikan aliran trafik dan keselamatan awam terkawal sepanjang musim perayaan. Antara pengisian utama program termasuklah menyantuni anak perantau yang memasuki sempadan negeri Kelantan dan sumbangan topi keledar.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di bawah Pentadbiran Jajahan Tanah Merah serta wakil-wakil daripada agensi penguatkuasaan.
Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan