Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Sebagai Ahli Majlis, Majlis Daerah Tanah Merah bagi Tahun 2026 dan Mesyuarat Penuh Khas Bil. 1 Tahun 2026

TANAH MERAH, 13 JANUARI 2026 (SELASA) - Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Sebagai Ahli Majlis, Majlis Daerah Tanah Merah bagi Tahun 2026 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama MDTM pagi tadi.

Majlis angkat sumpah tersebut telah diadakan di hadapan YABrs. Tuan Wan Ahmad Suwaidi bin Zainal Abidin, Yang Dipertua MDTM. Turut hadir pada majlis tersebut ialah YB Dato' Haji Abdul Fattah bin Mahmood (ADUN Bukit Panau), YBrs. Tuan Haji Mohd Khairil Hazmie bin Yusof (Setiausaha MDTM), Ketua Whip, barisan Ahli Majlis dan Ketua-ketua Bahagian /Unit MDTM.

Dalam majlis tersebut, penekanan diberikan kepada peranan Ahli Majlis sebagai jambatan utama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan rakyat. Pelantikan ini diharapkan dapat memperkasakan lagi mutu perkhidmatan PBT, terutamanya dalam aspek pembangunan infrastruktur, kebersihan dan kesejahteraan sosial di seluruh Jajahan Tanah Merah.
​
Sejurus selepas upacara angkat sumpah, Mesyuarat Penuh Khas Bil. 1 Tahun 2026 telah dijalankan bagi membincangkan hala tuju strategik MDTM untuk tahun ini, bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

Seluruh warga Majlis Daerah Tanah Merah mengucapkan tahniah kepada semua yang telah dilantik sebagai Ahli Majlis Tahun 2026. Selamat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan amanah serta dapat berkhidmat untuk masyarakat setempat.

Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan

#MajlisAngkatSumpah
#PenerimaanJawatan
#AhliMajlisMDTM2026
#MajlisDaerahTanahMerah

Lihat di Facebook