Majlis Daerah Tanah Merah Anjur Gotong-royong Perdana 2026 di Pasar Awam Gual Ipoh

GUAL IPOH, 20 OGOS 2026 (KHAMIS) – Majlis Daerah Tanah Merah telah menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana Tahun 2026 bertempat di Pasar Awam Gual Ipoh sebagai usaha berterusan dalam memperkasakan tahap kebersihan persekitaran, kesihatan awam serta kesejahteraan komuniti setempat.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBrs.Tuan Haji Wan Yusoff W Mustafa mewakili Yang Dipertua Majlis Daerah Tanah Merah. Turut hadir ialah YBrs Tuan Haji Mohd Khairil Hazmie bin Yusof, Setiausaha MDTM, Ahli-Ahli Majlis, pegawai dan kakitangan MDTM, wakil Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tanah Merah, RELA, APM, imam masjid gual ipoh, pemajak pasar dan peniaga pasar.

Program turut diserikan dengan beberapa inisiatif dan aktiviti simbolik, antaranya penyampaian Kit Usahawan kepada peniaga gerai makanan dan minuman MDTM di Pasar Awam Gual Ipoh bagi menyokong amalan kebersihan serta pengendalian makanan yang baik. Selain itu, Tong Kitar Semula turut diserahkan kepada pemajak Pasar Awam Gual Ipoh bagi menggalakkan amalan pengasingan sisa di punca. Turut diadakan gimik penampalan pelekat “DILARANG MEROKOK” di sekitar kawasan Pasar Awam Gual Ipoh.

Selain aktiviti gotong-royong, pelbagai perkhidmatan kaunter dan pameran kesihatan disediakan kepada orang ramai. Antaranya ialah Pameran Kesihatan oleh PKD Tanah Merah, Kaunter Bayaran Lesen Perniagaan, Kaunter Sewaan dan Cukai Taksiran MDTM, kaunter Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta booth pembelian barangan kitar semula dan minyak masak terpakai menerusi inisiatif “Trash to Cash”.

KPKT Malaysia
Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan

Lihat di Facebook