TANAH MERAH, 10 JUN 2026 (RABU) – Majlis Daerah Tanah Merah hari ini telah menerima kunjungan kerja rasmi daripada delegasi Majlis Daerah Tumpat (MDT) bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Majlis Daerah Tanah Merah.
Delegasi seramai 15 orang yang diketuai oleh YBrs. Encik Mohd Rosli bin Mohamed, Setiausaha MDT tersebut bertujuan melaksanakan lawatan penanda aras dan perkongsian amalan terbaik (best practices) khususnya berkaitan proses pengemukaan permohonan pemajuan secara digital sepenuhnya.
Kunjungan ini merupakan langkah proaktif pihak MDT dalam usaha mempelajari kaedah serta aliran kerja yang diguna pakai oleh jabatan-jabatan teknikal di MDTM, dengan tumpuan khusus terhadap pelaksanaan sistem OSC 3.0 Plus Online.
Melalui program ini, pihak MDTM berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam menguruskan sistem pendigitalan agar dapat dijadikan input bernilai bagi pihak MDT dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan di jabatan masing-masing.
Pihak Majlis Daerah Tanah Merah merakamkan penghargaan atas inisiatif pihak Majlis Daerah Tumpat dalam mengadakan lawatan ini. Kerjasama strategik seumpama ini dilihat amat penting bagi memperkukuh hubungan antara PBT di negeri Kelantan di samping menyokong agenda pendigitalan perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri yang lebih mampan.
Turut hadir bersama semasa program berlangsung ialah YABrs Encik Wan Ahmad Suwaidi bin Zainal Abidin, Yang Dipertua MDTM, YBrs. Tuan Haji Mohd Khairil Hazmie bin Yusof, Setiausaha MDTM serta ketua-ketua bahagian teknikal MDTM.
Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan
Majlis Daerah Tumpat