TANAH MERAH, 14 JANUARI 2026 (RABU) – Majlis Solat Hajat dan Amanat Tahun Baharu 2026 Majlis Daerah Tanah Merah telah berlangsung di Dewan Jubli Perak Membangun Bersama Islam pada hari ini.
Majlis tersebut dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis dan semua kakitangan MDTM bagi mendengar hala tuju dan visi yang digariskan oleh YABrs Tuan Wan Ahmad Suwaidi bin Zainal Abidin selaku Yang Dipertua Majlis Daerah Tanah Merah.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan solat hajat berjemaah sebagai simbolik memohon perlindungan dan kelancaran dalam setiap urusan pentadbiran bagi tahun 2026 dan disusuli ucapan oleh Ketua Whip dan Setiausaha Majlis.
Majlis diteruskan dengan ucapan amanat oleh YABrs. Tuan Yang Dipertua MDTM. Dalam ucapan amanatnya, Tuan Yang Dipertua menekankan betapa pentingnya semangat berpasukan sebagai tulang belakang organisasi. Menurut beliau, keutuhan sesebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) bergantung kepada kolaborasi yang erat antara setiap bahagian dan unit."Tahun 2026 menuntut kita untuk bekerja dengan lebih dinamik. Tiada ruang untuk bekerja secara 'silo' sekiranya kita mahu melihat Tanah Merah berkembang sebagai sebuah daerah yang maju" ujar beliau di hadapan semua kakitangan MDTM.
Antara intipati penting lain yang dikongsi dalam amanat tersebut termasuklah memastikan setiap aduan dan keperluan rakyat diselesaikan dengan pantas dan efisien serta memperkasakan penggunaan teknologi dalam urusan lesen dan cukai bagi memudahkan urusan pelanggan.
Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan
#SolatHajat
#AmanatTahunBaharu2026
#MajlisDaerahTanahMerah
#TanahMerahBersihIndahCeria