MDTM Anjur Program Gotong-royong Perdana 2026 dan Pelancaran Local Agenda (La21) di Bandar Baru Bukit Bunga

BUKIT BUNGA, 14 MEI 2026 (KHAMIS) - Majlis Daerah Tanah Merah hari ini telah berjaya menganjurkan Program Local Agenda 21 (LA21): Gotong Royong Perdana bertempat di Bandar Baru Bukit Bunga. Program ini merupakan manifestasi kerjasama erat antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi kerajaan dan masyarakat dalam memastikan kelestarian persekitaran.

​Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Abd Rahman bin Yunus, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan. Turut hadir sama ialah YABrs. Encik Wan Ahmad Suwaidi bin Zainal Abidin, Yang Dipertua MDTM, YB Tuan Mohd Almidi bin Jaafar, ADUN Bukit Bunga, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazir bin Yusoff, Ketua Whip MDTM dan YBrs. Tuan Haji Mohd Khairil Hazmie bin Yusof, Setiausaha MDTM.

​Dalam ucapan perasmiannya, YB Dato’ Abd Rahman menekankan bahawa aktiviti gotong-royong bukan sekadar rutin pembersihan malah ianya adalah tuntutan agama yang mencerminkan kesempurnaan iman. Beliau turut mengingatkan hadirin bahawa menjaga kebersihan kawasan awam adalah satu bentuk ibadat dan wujud rasa syukur atas nikmat Allah SWT.
​
​Pelbagai pengisian telah dilaksanakan sepanjang program antaranya​ sesi penyampaian sijil penghargaan kepada agensi terlibat seperti RELA, APM, Pejabat Kesihatan, Balai Bomba Tanah Merah, Jabatan Amal Tanah Merah dan KRT Bukit Bunga.

​Selain itu, sesi penyerahan tong kitar semula kepada sekolah-sekolah yang terpilih termasuk SK Nik Daud, SMK Bukit Bunga dan SMU (A) Darul Ulum Jedok dan sesi penyerahan Motosikal Roda 3 kepada petugas kebersihan Bukit Bunga untuk meningkatkan kecekapan operasi.

​Kemuncak acara adalah gimik penanaman pokok dan peletakan plat nama pokok oleh Yang Berhormat Dato’ Abd Rahman bin Yunus, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan sebelum aktiviti gotong-royong dilaksanakan mengikut zon yang telah ditetapkan.

​Selain aktiviti fizikal, MDTM turut menyediakan Kaunter Bergerak Pelesenan dan Cukai Taksiran bagi memudahkan urusan penduduk setempat sepanjang program berlangsung.

Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan

Lihat di Facebook