MDTM Anjur Program Karnival Usahawan Pasar Besar Tanah Merah dan Jom Sihat Tanah Merah Ku 2026

TANAH MERAH, 6 JULAI 2026 (ISNIN) – Majlis Daerah Tanah Merah telah berjaya menganjurkan Program Karnival Usahawan Pasar Besar Tanah Merah dan Jom Sihat Tanah Merah Ku 2026 yang berlangsung dengan penuh meriah di Pasar Besar Tanah Merah pada hari ini.

Program ini telah dirasmikan oleh YABrs. Tuan Yang Dipertua Majlis Daerah Tanah Merah, Encik Wan Ahmad Suwaidi bin Zainal Abidin dan turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Khairil Hazmie bin Yusof, Setiausaha MDTM, YBrs. Tuan Haji Wan Yusoff bin W.Mustafa, Timbalan Ketua Whip MDTM, Ahli-ahli Majlis MDTM, wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan, para peniaga serta masyarakat setempat.

Penganjuran karnival ini bertujuan memperkasakan pembangunan usahawan tempatan di samping meningkatkan kesedaran masyarakat dan peniaga terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, kebersihan premis perniagaan dan amalan gaya hidup sihat.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya gotong-royong membersihkan kawasan Pasar Besar Tanah Merah, pameran dan pemeriksaan kesihatan, kempen derma darah, kaunter perkhidmatan pelbagai agensi, pameran keselamatan makanan, pameran keusahawanan serta promosi pembayaran tanpa tunai bagi menggalakkan transformasi digital dalam kalangan peniaga.

Turut diadakan ialah penyampaian sijil penghargaan kepada premis makanan yang mencapai tahap kebersihan cemerlang (Gred A) serta penghargaan kepada jabatan dan agensi yang telah memberikan kerjasama yang baik dalam menjayakan program ini.

Majlis Daerah Tanah Merah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua jabatan (RELA, PKDTM, Hospital Tanah Merah, APM Tanah Merah, Bomba Tanah Merah, BSN, SSM), para peniaga, para petugas dan orang ramai yang telah memberikan komitmen serta kerjasama dalam menjayakan Program Karnival Usahawan Pasar Besar Tanah Merah dan Jom Sihat Tanah Merah Ku 2026.

Semoga penganjuran program seumpama ini menjadikan Tanah Merah sebagai sebuah daerah yang Bersih,Indah dan Ceria.

Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan
KPKT Malaysia

Lihat di Facebook