MDTM Buru Peniaga Degil, Berniaga Tanpa Lesen dan Tidak Memperbaharui Lesen

TANAH MERAH, 27 APRIL 2026 (ISNIN) – Bahagian Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan secara berterusan melaksanakan operasi pemeriksaan dan pemantauan lesen perniagaan melibatkan beberapa lokasi sekitar Kampung Kuala Kajang, Jalan Panglima Bayu / Rantau Panjang sehingga ke kawasan Batu Gajah.

Tujuan utama operasi ini dijalankan adalah bagi memastikan semua pengusaha premis perniagaan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDTM) 2019. Selain itu, pemantauan ini bertujuan mengekang kewujudan binaan haram dan premis yang beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hasil operasi tersebut, pihak Majlis telah mengeluarkan sebanyak lima (5) Notis Amaran di bawah UUK 3 atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah dan empat (4) Tawaran Kompaun telah dikeluarkan mengikut UUK 7(1) ekoran kegagalan pemilik untuk memperbaharui lesen perniagaan bagi tahun semasa.

Pihak MDTM menyeru kepada semua peniaga di daerah ini agar sentiasa peka terhadap tanggungjawab memperbaharui lesen perniagaan serta memastikan setiap aktiviti ekonomi yang dijalankan mempunyai permit yang sah. Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil kepada mana-mana pemilik premis yang masih berdegil.

Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan

#MajlisDaerahTanahMerah #PematuhanUndangUndang
#LesenPerniagaan

Lihat di Facebook