MDTM Sertai Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Banteras Pencerobohan Tanah Kerajaan dan Perobohan Struktur Tidak Sah di Jajahan Tanah Merah

TANAH MERAH, 14 OKTOBER 2026 (RABU)– Majlis Daerah Tanah Merah telah memberi kerjasama penuh dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Pencerobohan Tanah Kerajaan dan Perobohan Struktur Binaan Tanpa Kebenaran yang diketuai oleh Pasukan Penguatkuasa Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah (PTJTM) pada hari ini.

Operasi tegas tersebut dijalankan di beberapa lokasi strategik utama merangkumi kawasan Kubang Gali, Jalan Padang Siam serta Jalan Pasir Mas - Tanah Merah.

Tindakan ini diambil selaras dengan peruntukan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) bagi membanteras aktiviti pencerobohan dan pembinaan struktur secara tidak sah di atas tanah kerajaan.

Penglibatan MDTM dalam operasi bersepadu ini adalah bersama agensi-agensi teknikal yang lain termasuk JKR Tanah Merah, JPS Tanah Merah, AKSB Tanah Merah, TM Point, PDRM Tanah Merah dan TNB Tanah Merah. Kerjasama merentas agensi ini bertujuan memastikan keseluruhan proses penguatkuasaan, pemotongan utiliti serta kerja-kerja kawalan tapak berjalan dengan lancar dan selamat.

MDTM turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak membuat sebarang binaan atau pendudukan tanpa kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan
Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah

Lihat di Facebook