MDTM Sita Barangan Penjaja Tanpa Lesen

TANAH MERAH, 19 JANUARI 2026 (ISNIN)– Bahagian Penguatkuasaan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) telah menjalankan satu operasi penguatkuasaan tegas terhadap aktiviti penjajaan tanpa kebenaran di bahu-bahu jalan utama sekitar daerah ini.

​Operasi tersebut dijalankan susulan aduan awam dan hasil pemantauan pihak Majlis terhadap lokasi yang dikenal pasti menjadi punca gangguan lalu lintas serta berisiko tinggi kepada keselamatan pengguna jalan raya.
​
​Dalam operasi tersebut, beberapa barangan perniagaan telah disita mengikut prosedur yang ditetapkan. Tindakan ini diambil setelah peniaga terbabit didapati gagal mematuhi amaran awal dan melanggar undang-undang kecil perniagaan yang sedang berkuat kuasa.

​Pihak Majlis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mementingkan keuntungan peribadi sehingga mengabaikan aspek keselamatan awam.

​Operasi ini memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu mengelakkan kesesakan akibat kenderaan pelanggan yang berhenti di bahu jalan,mengurangkan risiko kemalangan di kawasan titik buta (blind spot) atau jalan yang sempit dan memastikan keadilan bagi peniaga yang telah mematuhi undang-undang dengan menyewa premis atau tapak berlesen.
​
​Pihak MDTM menasihatkan orang ramai, khususnya para penjaja supaya menjalankan aktiviti perniagaan di lokasi yang telah diwartakan atau dibenarkan oleh pihak Majlis. Peniaga juga digesa untuk segera memohon atau memperbaharui lesen perniagaan yang sah bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang di masa hadapan.

Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan

#Operasisitaan
#penjajabahujalan
#MajlisDaerahTanahMerah
#TanahMerahBersihIndahCeria

Lihat di Facebook