TANAH MERAH, 27 JULAI 2026 (ISNIN) – Majlis Daerah Tanah Merah hari ini telah melaksanakan Operasi Sitaan dan Menahan Harta Alih ke atas tiga buah premis kediaman di Taman Desa Barakah berikutan kegagalan pemiliknya menjelaskan tunggakan Cukai Taksiran (Cukai Pintu) sejak sekian lama.
Tindakan penguatkuasaan tersebut dijalankan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Borang F (Waran Tahanan), Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Pemeriksaan pada Notis Waran Tahanan mendapati ada antara pemilik premis yang gagal menyempurnakan pembayaran cukai taksiran sejak tahun 2006 hingga 2025.
Sepanjang operasi dijalankan, pegawai penguat kuasa MDTM telah memasang pita garisan sita di pintu utama premis serta menampal notis gantung rasmi. Langkah ini diambil bagi memastikan harta alih di dalam premis ditahan sehingga kesemua tunggakan dan kos berkaitan dijelaskan sepenuhnya.
Pihak Majlis Daerah Tanah Merah ingin menegaskan bahawa Cukai Taksiran merupakan sumber hasil penting tempatan yang dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan perbandaran termasuk penyelenggaraan infrastruktur, pembersihan kawasan, pengurusan sisa pepejal dan lampu jalan.
Sehubungan dengan itu, pemilik premis yang mempunyai akaun tunggakan diseru untuk hadir ke Pejabat MDTM dengan kadar segera bagi membuat semakan, pembayaran penuh atau berbincang dengan Bahagian Penilaian dan Pengurusan Harta mengenai perancangan jadual bayaran.
Kerjasama dan keprihatinan seluruh penduduk amat dihargai demi memastikan kesejahteraan serta kelancaran pembangunan perbandaran di Daerah Tanah Merah.
Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan
#operasisitaan
#tunggakancukai
#MajlisDaerahTanahMerah
#tamansribarakah
#tanahmerah