TANAH MERAH, 15 April 2026 (RABU) – Majlis Daerah Tanah Merah mempergiatkan usaha pematuhan peraturan perniagaan melalui pelaksanaan Operasi Bersepadu Pelesenan dan Iklan yang dijalankan di sekitar kawasan tumpuan daerah ini pada hari ini.
Operasi yang dikendalikan oleh Bahagian Pelesenan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan MDTM ini menyasarkan beberapa lokasi strategik bagi memastikan semua pengusaha premis mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang kecil MDTM.
Lokasi-lokasi yang terlibat dalam pemantauan menyeluruh ini merangkumi Jalan Wan Ahmad, Lebuhraya Tanah Merah-Jeli, Kawasan Pasar Besar dan Taman Kota Harmoni.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak Majlis telah mengeluarkan 9 notis arahan terhadap premis yang didapati menjalankan operasi perniagaan tanpa lesen yang sah. Selain itu, 2 kompaun telah dikenakan terhadap pemilik premis yang gagal memperbaharui lesen perniagaan mereka yang telah tamat tempoh.
Pihak Majlis menyeru semua pengusaha premis perniagaan di sekitar Tanah Merah untuk memastikan lesen perniagaan serta paparan iklan mereka sentiasa sah dan dipamerkan dengan jelas bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan pada masa akan datang.
Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan