Mesyuarat Penutup Pengauditan Penyata Kewangan MDTM Tahun Berakhir 31 Disember 2025

KOTA BHARU, 3 OGOS 2026 (ISNIN) – Majlis Daerah Tanah Merah telah menghadiri Mesyuarat Penutup Pengauditan Penyata Kewangan bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2025 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Jabatan Audit Negara Negeri Kelantan pada jam 2.30 petang.

Mesyuarat ini merupakan sesi akhir bagi membentangkan hasil pengauditan, penemuan audit serta maklum balas daripada pihak MDTM terhadap penyata kewangan tahun 2025. Sesi ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuhkan tadbir urus kewangan, meningkatkan akauntabiliti serta memastikan pengurusan kewangan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.

Delegasi MDTM diketuai oleh YABrs. Encik Wan Ahmad Suwaidi bin Zainal Abidin selaku Yang Dipertua MDTM bersama Setiausaha dan pegawai-pegawai kanan MDTM yang berkaitan. Mesyuarat turut dihadiri wakil Jabatan Audit Negara Negeri Kelantan, Bahagian Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Bahagian Kerajaan Tempatan serta juruaudit luar bagi membincangkan dapatan audit dan langkah-langkah penambahbaikan.

Dalam majlis tersebut, turut diadakan sesi penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan atas kerjasama erat antara Majlis Daerah Tanah Merah dan Jabatan Audit Negara Negeri Kelantan sepanjang proses pengauditan.

Majlis Daerah Tanah Merah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Audit Negara Negeri Kelantan serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan. MDTM akan terus komited dalam memperkukuh sistem pengurusan kewangan, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta mengamalkan tadbir urus yang cemerlang demi kepentingan rakyat dan pembangunan daerah Tanah Merah.

Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan

#ExitConference
#MajlisDaerahTanahMerah

Lihat di Facebook