Operasi Bersepadu: Enam Ekor Lembu Berkeliaran Berjaya Ditangkap di Jajahan Tanah Merah

TANAH MERAH, 12 NOVEMBER 2026 (KHAMIS) — Majlis Daerah Tanah Merah dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa telah berjaya melaksanakan Ops Bersepadu Menangkap Lembu Berkeliaran di Tempat Awam di sekitar Jajahan Tanah Merah semalam.

Operasi ini digerakkan bagi membendung masalah lembu berkeliaran tanpa kawalan di kawasan awam. Keadaan ini dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya, mengganggu ketenteraman awam serta menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk setempat.

Antara lokasi tumpuan utama sepanjang operasi ini dijalankan termasuklah Felda Kemahang 2, Felda Kemahang 3 dan kawasan Manal.

Operasi bersepadu ini memperlihatkan komitmen tinggi menerusi penglibatan seramai 49 orang anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan dan hasil daripada tindakan tegas dan pantas pasukan yang bertugas, sebanyak enam (6) ekor lembu telah berjaya ditangkap. Secara keseluruhannya, operasi ini berjalan dengan lancar serta terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang tempoh penugasan.

Pihak Majlis menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan seperti ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan awam terjamin dan pemilik haiwan ternakan lebih bertanggungjawab menjaga ternakan masing-masing demi kebaikan bersama.

Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan

Lihat di Facebook