Operasi Bersepadu Perobohan Bangunan/struktur Tanpa Kebenaran (Disewa Kepada Orang Rohingya) di Atas Tanah Milik Pesuruhjaya Tanah Kelantan (Ptk)…

​TANAH MERAH, 21 JULAI 2026 (SELASA) — Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) bersama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk PTJTM, MDTM, MKN, PDRM, TNB, AKSB, JKR dan JIM telah melaksanakan Ops Bersepadu bagi memrobohkan bangunan dan struktur tanpa kebenaran di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Kelantan (PTK) di Pechong, Mukim Bandar Tanah Merah, di sini hari ini.

​Operasi yang bermula pada jam 10.30 pagi itu diketuai oleh PTG dan PTJTM susulan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menceroboh tanah kerajaan serta mendirikan struktur haram yang kemudiannya disewakan kepada warga asing etnik Rohingya. ​Antara struktur yang terlibat dalam tindakan perobohan termasuklah 4 buah rumah kediaman yang dibina tanpa kelulusan merancang atau kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa berkenaan.

​Tindakan tegas ini diambil bagi membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan secara haram, selain membendung isu penempatan warga asing tanpa dokumen sah serta mengelakkan daripada berlakunya lambakan aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan tersebut.

​Operasi berskala besar ini melibatkan kekuatan seramai 108 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan dan teknikal. Antara agensi yang menyertai operasi bersepadu ini ialah:

​✅ Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) – 23 pegawai/anggota
✅ ​Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah (PTJTM) – 22 pegawai/anggota
​✅ Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kelantan (PTG) – 15 pegawai/anggota
✅ ​Polis Diraja Malaysia (PDRM) – 13 pegawai/anggota
✅ ​Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) – 13 pegawai/anggota
​✅ Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) – 12 pegawai/anggota
✅ ​Jabatan Kerja Raya (JKR) – 5 pegawai/anggota
​✅ Majlis Keselamatan Negara (MKN) – 3 pegawai/anggota
✅ ​Tenaga Nasional Berhad (TNB) – 2 pegawai/anggota

​Pihak berkuasa ingin menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan terus dilaksanakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menceroboh, memajukan atau menyewakan tanah rizab dan tanah kerajaan secara haram kepada warga asing.

Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan

#operasibersepadu
#perobohan

Lihat di Facebook