TANAH MERAH, 24 APRIL 2026 (JUMAAT) – Bahagian Penguatkuasaan Majlis Daerah Tanah Merah telah menjalankan satu operasi kawalan dan pemantauan di Pasar Tani, Jalan Pechong hari ini.
Operasi yang bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi itu memfokuskan kepada aspek pematuhan syarat-syarat lesen dan undang-undang kecil yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis.
Seramai enam (6) orang anggota penguat kuasa telah digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan setiap peniaga mempunyai lesen yang sah serta mematuhi peraturan ruang niaga yang dibenarkan.
Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, pihak Majlis telah mengeluarkan sebanyak lima (5) kompaun kepada peniaga yang didapati gagal mematuhi peraturan dan tindakan telah diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDTM) 2019, UUK 7(1) Tidak Memperbaharui Lesen Perniagaan.
Pihak MDTM menegaskan bahawa operasi sebegini akan diteruskan secara berkala dan semua peniaga dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap tarikh luput lesen masing-masing dan segera berurusan dengan pejabat Majlis untuk proses pembaharuan.
Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan