TANAH MERAH, 7 JUN 2026 (AHAD) – Majlis Daerah Tanah Merah terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan bagi memastikan sektor perniagaan di daerah ini mematuhi ketetapan undang-undang melalui pelaksanaan operasi Task Force 3.0: Penyelarasan Kadar Lesen & Iklan.
Operasi bersepadu yang melibatkan Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pelesenan MDTM ini telah memberi tumpuan khusus di sekitar kawasan perniagaan Jalan Wan Ahmad pada hari ini. Inisiatif ini merupakan langkah proaktif pihak majlis dalam memastikan setiap premis perniagaan beroperasi dengan sah serta mematuhi piawaian, garis panduan dan undang-undang papan tanda dan iklan yang telah ditetapkan.
Hasil pemeriksaan di lapangan mendapati masih terdapat segelintir pengusaha premis yang gagal mematuhi peraturan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDTM) 2019. Ekoran daripada ketidakpatuhan tersebut, pihak MDTM telah mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan lima (5) Notis Amaran kepada premis yang didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen. Selain itu, dua (2) Tawaran Kompaun turut dikenakan terhadap pemilik premis yang gagal melakukan pembaharuan lesen perniagaan.
Majlis Daerah Tanah Merah turut menyeru kepada semua pemilik premis perniagaan agar sentiasa memastikan lesen perniagaan dan permit iklan mereka masih dalam tempoh sah laku. Pihak majlis akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap kepatuhan peniaga berada pada tahap tertinggi.
#MajlisDaerahTanahMerah
#BahagianPenguatkuasaan
#BahagianPelesenan