TANAH MERAH, 25 OKTOBER 2026 (AHAD) – Program Kuliah Dhuha dan Solat Sunat Dhuha Bulan November 2026 telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Masjid Ketua Jajahan Tanah Merah pada hari ini.
Program dimulakan dengan solat sunat dhuha secara berjemaah diikuti sesi kuliah yang disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Mohd Ibrisam bin Jalaluddin, Pegawai Agama Jajahan Tanah Merah yang mengupas tajuk "Pengurusan Rezeki".
Menerusi pengisian kuliah tersebut, beliau menekankan bahawa rezeki merupakan kurniaan Allah SWT dan setiap insan hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh, di samping bertawakal serta reda terhadap ketentuan-Nya.
Antara pengisian utama yang turut ditekankan ialah:
✅Rezeki adalah hak milik Allah SWT. Manusia bertanggungjawab untuk berusaha, manakala penentuan dan hasilnya adalah ketentuan mutlak daripada-Nya.
✅Keberkatan rezeki bukan hanya diukur pada wang ringgit semata-mata malah merangkumi nikmat kesihatan dan waktu lapang yang diberikan oleh Allah SWT.
✅Memastikan pendapatan dan tugas harian dilaksanakan secara amanah, jujur serta bebas daripada sebarang unsur rasuah mahupun penipuan demi kelapangan dan ketenangan jiwa.
✅Rezeki merangkumi pelbagai aspek kehidupan seperti kesihatan tubuh badan, keluarga dan anak-anak yang soleh/solehah, ilmu yang bermanfaat serta keredaan Allah SWT.
✅Sentiasa memohon keredaan ibu bapa kerana keredaan Allah SWT bergantung kepada keredaan kedua-dua orang tua
Program ini turut dihadiri oleh YABrs. Encik Wan Ahmad Suwaidi bin Zainal Abidin, Yang DiPertua MDTM, YBrs Tuan Haji Mohd Khairil Hazmie bin Yusof, Setiausaha MDTM, Ketua Whip, Ahli-Ahli Majlis MDTM, para pegawai PTJTM, ketua-ketua Bahagian / Unit MDTM serta kakitangan MDTM.
Semoga segala ilmu dan pengisian yang disampaikan dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.
Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan