Program “PBT Berintegriti: Pencegahan Rasuah Berteraskan Nilai Islam”

​KOTA BHARU, 6 MEI 2026 (RABU) – Majlis Daerah Tanah Merah terus mengukuhkan komitmen terhadap budaya kerja beretika melalui penyertaan dalam Program “PBT Berintegriti: Pencegahan Rasuah Berteraskan Nilai Islam” yang berlangsung di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim pada hari ini.

​Program bermula jam 9.00 pagi ini merupakan inisiatif kolaboratif antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bahagian Kerajaan Tempatan, serta Bahagian Integriti dan Tadbir Urus, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan bertujuan memastikan setiap warga PBT tidak sekadar memahami peraturan, malah menghayati nilai-nilai Islam sebagai teras jati diri dalam melaksanakan amanah. Pendekatan ini dilihat berupaya menyediakan platform perkongsian ilmu yang berkesan dalam mendepani isu-isu integriti kontemporari.
​
Majlis yang dirasmikan oleh YABhg. Dato’ Hj Abd Pattah bin Hasbullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kelantan ini, diisi dengan pengisian yang komprehensif merangkumi ceramah integriti dan sesi forum melibatkan panel jemputan berpengalaman yang membincangkan langkah-langkah pencegahan rasuah yang praktikal di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Turut hadir bersama ke program tersebut ialah YBrs. Tuan Haji Mohd Khairil Hazmie bin Yusof, Setiausaha MDTM, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazir bin Yusoff, Ketua Whip MDTM bersama barisan Ahli-Ahli Majlis serta pegawai dan kakitangan MDTM.

Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan

Lihat di Facebook