Program Solat Sunat Dhuha dan Kuliah Dhuha Bulan April 2026

TANAH MERAH, 5 APRIL 2026 (AHAD) – Program Solat Sunat Dhuha dan Kuliah Dhuha bagi bulan April 2026 telah berjaya dilaksanakan dengan penuh pengisian bertempat di Masjid Ketua Jajahan Tanah Merah pada hari ini.

Program kerohanian bulanan ini dimulakan dengan pelaksanaan solat sunat Dhuha secara berjemaah yang dipimpin oleh YBrs. Ustaz Saiful Adli bin Mohd Salleh, Penolong Pegawai Tadbir (Pembangunan Islam) Majlis Daerah Tanah Merah.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan pengisian ilmu melalui sesi kuliah Dhuha yang menyentuh tajuk yang sangat relevan dengan suasana semasa iaitu "Kelebihan Puasa 6 Bulan Syawal". Kuliah tersebut telah disampaikan oleh YBrs. Ustaz Nik Mohd Nizam bin Mohd Nasir, Pegawai Dakwah Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.

Dalam ceramah tersebut, beliau menekankan kepentingan menyambung ibadah puasa wajib di bulan Ramadan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal bagi melengkapkan ganjaran pahala seumpama berpuasa setahun selain memperincikan fadhilat serta hikmah di sebalik amalan tersebut.

Pihak Majlis berharap agar program seumpama ini dapat terus menjadi platform utama dalam menyebarkan dakwah kepada semua kakitangan.

#MajlisDaerahTanahMerah
#UnitPembangunanIslamMDTM
#SolatdanKuliahDhuha

Lihat di Facebook