KOTA BHARU, 20 JULAI 2026 (RABU) – SMART TEAM Majlis Daerah Tanah Merah telah menyertai sesi pembentangan projek inovasi sempena Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam (KIK Horizon Baharu) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.
Penyertaan ini merupakan komitmen berterusan MDTM dalam membudayakan inovasi, kreativiti serta penambahbaikan berterusan terhadap penyampaian perkhidmatan awam. Melalui pembentangan tersebut, SMART TEAM berpeluang mengetengahkan idea dan penyelesaian inovatif yang dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Turut hadir sama semasa sesi pembentangan tersebut ialah YBrs Tuan Haji Mohd Khairil Hazmie bin Yusof, Setiausaha MDTM dan YBrs Encik Nik Mohammad Dzul Wal Ikram bin Zulkarnain, Penolong Setiausaha MDTM. Kehadiran pengurusan tertinggi MDTM ini mencerminkan dorongan berterusan pihak pengurusan dalam memperkasakan budaya kerja berteraskan inovasi di peringkat akar umbi.
Majlis Daerah Tanah Merah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli SMART TEAM atas komitmen, dedikasi dan usaha gigih dalam menghasilkan projek inovasi yang mampu memberi impak positif kepada jabatan. Semoga penyertaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan MDTM dalam memperkukuh budaya inovasi, seterusnya meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan Daerah Tanah Merah.
Hilmi Abdullah
Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan