TANAH MERAH, 7 OGOS 2026 (JUMAAT) – Pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tanah Merah bakal menambah kapasiti institusi pendidikan MARA di…

Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi MARA hari ini mengadakan lawatan ke tapak projek bagi meninjau perkembangan awal pembinaan MRSM Tanah Merah. Beliau turut mendengar taklimat mengenai pelaksanaan Program Ulul Albab yang disampaikan oleh Encik Shahrizal Mohd Saderi, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA sebelum diteruskan dengan taklimat pembangunan projek oleh Encik Wasliman Sapon, Timbalan Pengarah I Bahagian Binaan dan Senggaraan MARA. Turut hadir YABrs. Encik Wan Ahmad Suwaidi bin Zainal Abidin, Ketua Jajahan Tanah Merah merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Tanah Merah, Encik Azuan Md Ghazali @ Ghazali, Pengarah MARA Negeri Kelantan, barisan pengurusan MARA, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta wakil komuniti setempat.

MRSM Tanah Merah akan dibangunkan di atas tapak seluas 62 ekar dengan keluasan pembangunan 35 ekar dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2029. MRSM ini mampu menempatkan sehingga 750 pelajar di bawah Program Ulul Albab serta dilengkapi pelbagai kemudahan pembelajaran dan penginapan.

Apabila siap kelak, MRSM Tanah Merah akan memberi lebih banyak peluang kepada pelajar Bumiputera di Kelantan untuk melanjutkan pengajian di MRSM. Projek ini juga dijangka menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi daerah Tanah Merah dan kawasan sekitarnya.

Lihat di Facebook